Cari Jer

Saturday, 19 May 2012

TANGGUNGJAWAB PENGGUNA



Pengguna juga memainkan peranan penting dalam menjamin 

keselamatan produk yang dipasarkan walaupun perkara ini 

merupakan tugas pihak kerajaan dan pihak organisasi

Bagi memastikan produk yang ingin digunakan selamat pengguna hendaklah:


1) Tanya penjual mengenai ciri keselamatan produk sebelum membelinya.


Penjual biasanya menyimpan pelbagai jenis produk dan mereka tentu bersedia memberi maklumat berguna mengenai prestasi produk dan ciri-ciri keselamatannya.

2) Pengguna hendaklah mengambil daya usaha dan peluang bertanya kepada penjual itu mengenai produk yang disogokkan, terutama mengenai ciri-ciri keselamatan.

3) Lengkapkan dan kembalikan kad pendaftaran produk yang dibeli supaya anda dapat diberitahu jika ada kes penarikan semula produk.

Memang ada berlaku kerosakan pada produk dan pengeluar, khususnya yang ada reputasi pernah menarik balik atau mengeluarkan maklumat lanjut mengenai penggunaan produk yang betul.

4) Mengembalikan kad pendaftaran beralamat membolehkan pengeluar menghubungi pembeli apabila berlaku sesuatu masalah pada produk.

Kadangkala pengeluar memerlukan kad pendaftaran itu sebagai syarat bagi melaksanakan kewajipannya berhubung jaminan yang termaktub.
Dalam kes seperti ini, pengembalian kad pendaftaran menguntungkan pengguna iaitu mereka menaruh keyakinan pada jaminan yang dinyatakan tanpa perbalahan.


5) Baca dengan teliti label produk dan keterangan serta label amaran.

Produk pengguna biasanya mempunyai maklumat berguna dan amaran mengenai produk.
Dalam kes ubat-ubatan yang dijual di kaunter misalnya, rumusan pakej tersedia dalam bungkusan ubat berkenaan memberi banyak maklumat berguna.
Petanda ini bagi menentukan ubat mana yang harus digunakan, dosnya mengikut lingkungan umur, dan petanda kontra (keadaan yang ubat tidak boleh digunakan seperti kehamilan, penyusuan badan, penyakit tertentu, beralkohol atau ketika memandu) perlu diberi perhatian.
Contohnya, label makanan memberi maklumat berguna bagi mereka yang mengalami alahan pada sesetengah kandungannya.


6) Baca dan patuhi maklumat mengenai penggunaan produk dengan cermat.

Banyak produk hanya selamat apabila digunakan mengikut garis panduan dan keterangan yang diberi.Sesetengah barangan elektrik selamat hanya apabila digunakan dalam jangka masa tertentu. Dengan bertambah jangka hayat, lama masa penggunaan produk perlu dikurangkan.
Seterika terlalu panas dan pengering rambut penyebab berlaku kebakaran dan kecederaan serta kerosakan di rumah. 

Oleh itu gunakan produk seperti ditetapkan dengan cermat dan berhati-hati.Produk biasanya untuk suatu kegunaan saja.Sesetengahnya sesuai untuk beberapa kegunaan.

Tiada produk yang selamat untuk semua penggunaan.



Penting menggunakan alat yang betul untuk melakukan sesuatu kerja selain mengetahui kebolehan seseorang itu berbeza di antara satu sama lain.
Kanak-kanak harus dilindungi. Banyak pihak pengeluar secara sedar menyediakan label seperti ‘tidak selamat digunakan oleh kanak-kanak’ atau ‘jauhi daripada kanak-kanak’.Namun,masih ramai ibu bapa yang gagal mematuhi amaran ini.



7) Laksanakan tanggungjawab peribadi bagi kewaspadaan normal apabila menggunakan produk.


Tanpa mengira berat beban undang-undang yang mungkin dikenakan ke atas pengeluar, hakikatnya keselamatan adalah tanggungjawab peribadi setiap pengguna.
Semua produk boleh menyebabkan berlaku kecederaan dan pengguna mesti sedar hal itu.
Keprihatinan khusus diperlukan apabila menggunakan peralatan seperti kenderaan motor, barangan elektrik dan kimia serta ubat-ubatan.

8) Maklumkan kepada peruncit, pembuat dan organisasi pekerja atau pihak ketiga lain apabila produk tidak beroperasi dengan selamat.

Pengeluar, terutama syarikat besar menyediakan sistem untuk memantau prestasi produk mereka selepas jualan.
Sistem ini banyak bergantung pada maklum balas pengguna dan demi kepentingan penggunalah maklum balas ini diberikan.
Pengguna sering gagal melaksanakan hak mereka – hak membuat aduan!
Walaupun yang mengadu kurang, tindakan mereka bermanfaat bukan saja kepada mereka sendiri, malah orang ramai.
Surat aduan dihantar kepada pihak berkenaan dan jika tidak diberi perhatian, hantarkan kepada akhbar dan agensi kerajaan.

9) Kenal pasti kelemahan produk dan laporkan kepada pihak berkenaan.

Memaklumkan kepada pihak berkenaan boleh memberi banyak manfaat.
Aduan pengguna boleh membawa kepada rampasan beberapa jenis krim pemutih kulit yang mengandungi bahan hydroquinone daripada salun kecantikan.


Penggunaan hydroquinone ini amat berbahaya, khususnya bagi penduduk di kawasan tropika kerana kekerapan mereka terdedah pada cahaya matahari.


Bahan berlebihan dalam badan boleh mengeluarkan tinnitus, selain menyebabkan tremors, deria kesesakan nafas, muntah, ketegangan otot, pening, sawan atau koma akibat kegagalan sistem pernafasan.


Hydroquinone diharamkan Kesatuan Eropah.



10) Beri maklum balas kepada penarikan semula.

Penarikan semula produk dilakukan pengeluar dan peruncit apabila diarahkan kerajaan atau mereka sendiri kerana wujud kelemahan pada produk dijual.


Penarikan semula produk hanya berkesan apabila pengguna memberi maklum balas kepada usaha itu dan mengembalikan barang yang dibeli.


Pengguna biasanya tidak segera memberi maklum balas kepada penarikan semula produk kerana berpendapat produk mereka itu selamat dan berprestasi baik.


Ini bermakna suatu bencana sedang menunggu untuk berlaku.

11) Sokong usaha memperbaiki keselamatan bagi semua pengguna.

Keselamatan adalah keprihatinan ramai dan segala usaha berhubung keselamatan harus diteruskan.


Setiap hari, produk baru akan memasuki pasaran dan pengguna serta organisasi pengguna perlu sentiasa berwaspada.
Pengeluar dan kerajaan begitu responsif apabila ada permintaan daripada pengguna terhadap pembaikan undang-undang keselamatan dan penguatkuasaan.


Setiap orang harus menyokong usaha memperbaiki keselamatan supaya semua selamat.


Pengguna perlulah bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Bagi mencapainya matlamat ini mereka perlu prihatin dan waspada serta memastikan wujudnya rejim keselamatan produk untuk menyekat produk tidak selamat sampai ke pasaran.

KESELAMATAN PRODUK YANG DIPASARKAN



Para pengguna sekalian, adakah anda yakin terhadap produk yang anda sedang gunakan?Pernahkah anda melihat bahan-bahan yang terdapat pada bahagian label produk?terutamanya pada produk kecantikan yang sedang anda gunakan?

Pernahkah anda melihat atau mendengar  Hidrokuinon?  
Hidrokuinon merupakan satu bahan peluntur digunakan dalam industri fotografi, getah dan agen aktif melunturkan warna rambut.

Walaupun diharamkan , tetapi masih ada sesetengah pengeluar yang menghasilkan produk dengan menggunakan bahan aktif berbahaya seperti monobenzil dan monometil hidrokuinon, raksa, asid askorbik dan peroksida untuk membolehkan pengguna melihat kesan cepat seperti apa yang diimpikan.

Hidrokuinon atau raksa, bertindak dengan cara yang sama. Pada peringkat awal penggunaan, kulit akan menjadi cerah manakala parut dan pigmentasi hilang kerana hidrokuinon dan raksa menghalang penghasilan melanin.

Seperkara yang perlu diingat, lebih cepat sesuatu produk itu mampu mencerahkan kulit anda, bermakna kepekatan bahan pemutih dalam produk itu lebih tinggi.

Melihat kesan diharapkan, ramai wanita menganggap ia produk baik dan terus menggunakannya bagi mengekalkan kecantikan yang baru dimiliki. Hidrokuinon atau raksa yang disapu pada kulit akan bertindak balas dengan sinar ultraviolet (UV) dan berlakulah proses pengoksidaan semula.

Adakah anda mengetahui proses pengoksidaan ini? Pernahkah anda menghiris sebiji epal dan biarkan ia seketika?Kemudian anda akan melihat epal yang dibiarkan itu akan bertukar menjadi coklat. Begitulah proses pengoksidaan ini berlaku.

Proses pengoksidaan semula menghasilkan lebih banyak pigmentasi dan mempercepatkan penuaan. Warna kulit akan menjadi tidak sekata dan terdapat kesan tompok hitam. Untuk membetulkan semula keadaan ini, lebih banyak hidrokuinon diperlukan dan proses sama akan berulang.

Pada masa sama, penghasilan melanin akan terhenti. 

Ketiadaan melanin bermakna kulit hilang daya
 perlindungannya dan sangat lemah. Ia sangat sensitif pada 
cahaya matahari dan lebih mudah mendapat kanser kulit

BAHAN KIMIA YANG TERDAPAT DALAM PRODUK KECANTIKAN

     Hidrokuinon 
Menghentikan penghasilan melanin iaitu bahan yang melindungi kulit daripada sinaran ultra lembayung. Apabila menggunakan produk mengandungi bahan ini, kulit muka menjadi kemerahan, rasa pedih dan terbakar apabila terkena cahaya matahari terik.Penggunaan berterusan menyebabkan warna kulit tidak sekata dan bertompok hitam. Hidrokuinon juga boleh meresap ke dalam sel dan memasuki aliran darah. Pengumpulan hidrokuinon dalam badan boleh menjejaskan pendengaran dan menyebabkan pelbagai masalah lain seperti menggigil, mual, muntah, sakit kepala, sukar bernafas, sawan dan mungkin koma.



  Trietinon 
 Kulit menggelupas, kering, sensitif pada cahaya matahari dan banyak jeragat



    Raksa
Kesan raksa kepada kulit sama seperti hidrokuinon dan pengumpulannya dalam badan boleh menyebabkan seseorang mengalami pelbagai masalah, antaranya muntah, cirit-birit, keracunan hati dan buah pinggang serta gangguan saraf.Pembelian produk kosmetik adalah satu pelaburan. 


MASALAH PENGGUNA


Pada masa sekarang,para wanita terlalu ghairah dengan dunia kecantikan khususnya golongan remaja.
Keghairahan yang tinggi untuk memiliki kulit wajah yang menawan telah menyebabkan banyak produk baru yang dikeluarkan bagi memenuhi kehendak golongan wanita ini.
Sikap pengguna yang membuat keputusan pembelian tidak rasional ketika membeli sesuatu produk tanpa memperoleh maklumat yang cukup menyebabkan pengguna dikaburi dengan iklan produk yang menarik tanpa memikirkan kesan-kesan negatif yang wujud


Artis yang menjadi model kepada produk baru telah menjadi satu daya tarikan kepada golongan wanita terutamanya golongan remaja untuk membeli sesuatu produk yang baru dipasarkan.
Ini menyebabkan tindak tanduknya menjadi perhatian peminatnya.
Pemasar menggunakan strategi ini untuk menarik perhatian pengguna supaya membeli produknya.

PRODUK KECANTIKAN DI MALAYSIA





        SENDAYU TINGGI
       





SHURAH









SAFI BALQIS





SAFI GAMAT                                     




ALAISYAH





SAFI RANIA GOLD









ISU KESELAMATAN PRODUK PENGGUNA DI MALAYSIA

Sejak tahun 2006, penduduk di Malaysia telah menyaksikan pelbagai skandal keselamatan produk pengguna di Malaysia dan antarabangsa bermula dengan keracunan makanan di sekolah sehinggalah pencemaran mentega kacang dengan bakteria Salmonella pada tahun ini, 2009. Sejak krisis keselamatan alat permainan kanak-kanak pada tahun 2007, Amerika Syarikat, Kanada dan Kesatuan Eropah telah mengambil langkah-langkah memperbaiki lagi peraturan keselamatan produk di negara masing-masing.

Tindakan yang paling ketara adalah Akta Penambahbaikan Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (atau US Consumer Product Safety Improvement Act). Deretan skandal keselamatan makanan baru-baru ini telah mendesak tinjauan semula dan penambahbaikan tugas dan tanggungjawab badan Pentadbiran Makanan dan Dadah (Food and Drug Administration – FDA) Amerika Syarikat, dari segi undang-undang dan peruntukan kewangan.

FDA telah dikritik oleh pengguna dan industri di Amerika Syarikat ke atas pencemaran bekalan mentega kacang daripada Peanut Corporation of America (PCA) akhir tahun 2008 dan awal tahun 2009. Laporan menyatakan bahawa FDA tidak meningkatkan kekerapan pemeriksaan ke atas kilang PCA walaupun kunjungan pada tahun 2007 menunjukkan bukti pencemaran bakteria Salmonella pada masa itu. 

Undang-undang di bawah FDA dan hasil kajian FDA pula kerap dirujuk oleh agensi-agensi yang berkenaan di Malaysia, terutamanya Bahagian Kawalan Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKKM) dan Badan Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK). 

Selepas pelbagai masalah keselamatan makanan beberapa tahun kebelakangan ini, Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Eropah (pengeksport dan pengimport) telah meninjau dan mengetatkan lagi peraturan berkaitan keselamatan makanan.

PRODUK DI MALAYSIA

Setiap produk yang dihasilkan oleh mana-mana pihak atau organisasi perlu mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi memastikan produk yang dihasilkan selamat untuk digunakan dan tidak memberi kesan yang memudaratkan kepada pengguna.

Namun bagaimana pula dengan produk  keluaran di Malaysia?Adakah setiap produk yang dihasilkan dan dipasarkan di pasaran mempunyai ciri-ciri keselamatan untuk menjamin produk keluaran mereka selamat digunakan?Bagaimana pulak dengan pihak atau badan yang akan bertanggungjawab sekiranya produk yang dipasarkan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan yang akan memudaratkan pengguna?

Sebagai pengguna produk di Malaysia, adakah anda mengetahui tentang Peranan Badan atau Agensi yang terdapat di Malaysia??Misalnya, Persatuan Pengguna seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia ataupun Federal of Malaysian Consumers Unions(FOMCA).

FOMCA merupakan gabungan persatuan pengguna daripada tiap-tiap  negeri di Malaysia,kecuali Persatuan Pengguna Pulau Pinang  (CAP).

FOMCA ditubuhkan untuk memberi nasihat dan bimbingan kepada pengguna.Ramai pengguna tidak sedar akan hak mereka untuk menuntut ganti rugi atau mengemukakan aduan terhadap pengeluar atau peniaga yang telah menipu mereka  semasa menjalankan perniagaan. Oleh itu,FOMCA ditubuhkan untuk memperjuangkan hak-hak pengguna terutama hak mendapat ganti rugi dan perlindungan.Selain itu,FOMCA juga menyebarkan maklumat kepenggunaan kepada pengguna dan mengadakan kempen serta seminar.

Jika pengguna mendapati diri mereka ditipu oleh peniaga,mereka boleh membuat aduan kepada FOMCA kerana pihak FOMCA akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak tertentu bagi pihak pengguna dan menyediakan khidmat nasihat guaman untuk pengguna.Pihak FOMCA juga akan menerima aduan dan menyiasat sebarang kes penyelewengan dan penipuan yang dilakukan oleh pihak tersebut.